Saturday, September 27, 2008

couple..JOM @ XNAK ????

Berikut adalah persoalan & jawapan mengenai couple yang biasa diutarakan...

Q:Kami tidak berzina !
A:Maaf, saya tidak menuduh awak berzina, tetapi awak menghampiri zina.

Q:Kami hanya barbual-bual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum di kafe. Adakah itu menghampiri zina?
A:Ya,perbuatan itu boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah penzinaan.Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu. Hari ini ya. Esok mungkin kamu kecundang.Iblis akan memerangkap kamu. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama,Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) . Kita lemah menghadapi tipu daya Iblis.

Q:Tidak semestinya semua orang bercinta* menjurus kepada penzinaan. Ada yang
bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tidak pernah bersua muka pun! A:Betul .Tetapi itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak bersua muka. Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja.Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Q:Takkan nak berbual-bual pun tak boleh? Itupun zina ke?
A:Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Zina hati iaitu dengan khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah: Kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya menuju ke tempat pertemuan. Mulut juga berzina dan zinanya adalah ciuman (Muslim dan Abu Daud). Sebenarnya jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan.

Q:Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!(bagi kes belajar berdua-duaan SAHAJA)*
A:Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambaNya. Kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati oleh Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup di dunia tidak bahagia,akhirat lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang berilmu. Jadi belajar hendaklah ikut batas dan ketentuan Allah. Belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ni akan ditulis oleh malaikat Raqib dan Atid.

Q:Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni Study Group.(bagi kes berdua-duaan SAHAJA)
A:Study Group...? nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Kemana-manapun berdua. Kalau yea pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni... betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu... banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Q:Tidaklah. Sungguh berbincang pelajaran.
A:Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu. Kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia. Kita ada nafsu, ada keinginan. Itulah manusia.

Q:Kami berdua sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi. Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar?
A:Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula .

Q:Takkanlah tak ada langsung ruang yang dibenarkan dalam Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?
A:Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seseorang, tak normal namanya. Islam bukan datang membunuh naluri dan keinginan itu, tidak! Islam tidak suruh membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh para paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma tudukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya. Jangan jadi malaikat! Kerana Allah jadikan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Q:Islam takde ke couple-cople ni?
A:Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah). Cinta adalah maruah manusia. Ia telalu mulia.

Q:Kalau begitu, cinta* remaja semua menghampiri kepada penzinaan?
A:Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam bukankah mereka semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!

Q:Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.
A:Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

Q:Jadi manusia itu tidak tahan diuji?
A:Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa, sejak dari awal penciptaan manusia. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya tidak memakan buah khuldi dalam syurga. Buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaan manusia. Tidak tahan diuji. Oleh itu Allah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan menghampiri pokok khuldi itu. Firman Allah: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa yang kamu sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini. (jika kamu menghampirinya) maka kamu adalah orang-orang yang zalim. (al-Araf:19) Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah penzinaan juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan zina, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar daripada pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Q:Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah.Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum buat keputusan berkahwin.
A:Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing- masing akan berlakon dengan watak terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai- bagai lagi. Masa bercinta merajuk ada yang pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang pujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu dengan keperibadian pasangan semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, penyabar, sabar tunggu pasangan terlambat sampai berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit, dah kena tengking. Jadi, perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit. Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagian hidup nanti. Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat redha Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang menganugerahkannya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini, Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Q:Tanya sikit,.. adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta....
A:Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan, tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya angkat ini sebenarnya telah masuk dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa nama sekalipun, abang angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina. Jadi seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri? Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh Pencipta manusia.Orang yang sedang mabuk bercinta akan mengatakan orang yang bercinta tidak menjejaskan maruah dirinya. Manakala, bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan kepada orang yang belum layak menerima cinta suci. Kalau begitu ukuran bermaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Q:Adakah orang yang bercinta hilang maruah?
A:Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadaikan maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang pernah berzina. Allah berfirman: Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula tidak ingin berkahwin melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.(Surah An-Nur: 3)
Jadi, orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan dari Tuhan? Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik.

Q:Kami telah berjanji sehidup semati.....
A:Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.
Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab. Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki, apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Q:Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki? A:Tentu! Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di bilik pameran sahaja. Tapi ada orang yang boleh test drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu, ke hilir. Sedihkan? Itulah hakikatnya!

Q:Masih adakah orang yang tidak bercinta di zaman ini?
A:Ya! Masih ada orang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah: Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya dari melakukan zina)... Allah telah menyediakan bagi mereka segala keampunan dan pahala yang besar. (Surah Al-Ahzab: 35 )

Q:Bagaimana kami?
A:Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah dengan taubat nasuha. Berdoalah serta mohon keampunan dariNya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya. Kami ingin mendapat redha Tuhan. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha. Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya.Taubat yang memenuhi tiga syarat: i) Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini. ii) Menyesal. Menginsafi diri diatas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan. iii) Berazam. Bertekad di dalam hati tidak akan bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seseorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab kabul.


Moga Allah terima taubat mu. Kita berpisah kerana Allah , kalau ada jodoh , tidak ke mana! Ya, Allah! Bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka "

Thursday, September 25, 2008

Hati hati dengan penggunaan wafak

Kita(perubatan Jawi) mengambil pandangan ulamak yang melarang penggunaan wafak(rajah-rajah yang ditulis dengan huruf dan nombor)untuk tujuan pengubatan.Kaedah ini jelas merupakan kesinambungan kaedah perubatan jahiliah yang dipusakai dari orang orang Arab di Mesir pada zaman firaun.
Jika anda meihat beberapa wafak jelas sekali terdapat lakaran perjanjian dengan syaitan seperti segi tiga piramid dan gambar tapak kaki yang ditulis dengan kalimah Allah dan Muhammad.Saya pernah bertanya hal itu kepada beberapa orang guru yang kononnya arif dalam bidang-bidang ini.Kata mereka itu adalah "ma'rifat" sahaja.
Apa jua alasan yang diberikan,kita tetap menyatakan bahawa penghinaan kepada kalimah Allah dan Muhammad itu membawa kepada kafir.Ma'rifat apa yang ujud tanpa syariat?Malang sekali hari ini manusia menilai sesaorang dengan melihat kelebihanya padahal belum tentu kelebihan itu merupakan karomah dan kemungkinan besar dari amalan berjin.Bagitu juga yang terjadi dalam soal bertangkal,walaupun sudah ada larangan yang keras dari hadis yang sohih namun masih ada lagi yang ingin melonggarkan hukum tanpa mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang akan terjadi pada aqidah ummat Islam.Mereka berhujah kononnya ulamak-ulamak tertentu tetap membolehkan tangkal.
Bagi kita (perubatan Jawi)pegangan kita, yang tidak pernah sesat ialah selagi kita berpegang dengan al-Quran dan hadis-hadis Nabi.Amin.Berhati-hati dengan guru yang membolehkan penggunaan rajah dalam ubatan.

Dipetik dari blog Tn. Haji Ismail B Ahmad
Pengasas HPA

Merawat masalah saka.

Pada kali ini saya ingin mengajak saudara mencuba kaedah perawatan JAWI khususnya untuk kes-kes yang dikatakan SAKA.Bagi saya SAKA itu merupakan situasi yang dibentuk kepercayaanya sehinggakan ia memberikan reaksi negatif pada tubuh badan.Jika kita kuat berusaha menolak alam fikir ini,InsyaAllah tidak belaku hal-hal yang tidak di ingini.
Kaedah membuang saka bagi saya juga merupakan satu aksi motivasi yang membentuk kepercayaan bahawa perkara itu telah dapat diatasi.Tanamkan keimanan yang tinggi melalui pelajaran Aqidah.MengESAkan Allah dengan sebenar-benarnya dan takut hanya pada Allah sahaja.Jangan sekali-kali berubat kepada orang yang mengagung-agungkan kekuasan jin atau saka.Berwiridlah dengan Wirid Al ma'thurat,iaitu satu himpunan Hadis Shahih.Jangan menerima sesuatu amalan yang tidak fahami jika tidak ada sumber sandaranya.
Dahulu,keluarga saya tidak boleh memasak sejenis kuih(buah melaka- utara)jika dilakukan juga semuanya seisi rumah akan demam.Namun apabila kami mula mempelajari tentang tauhid yang sebenar kepada Allah,hal itu tidak pernah berlaku lagi.Ini membuktikan bahawa ajaran tauhid sahaja yang dapat menolak penyakit yang ada hubungan dengan masalah spiritual.
Saya juga tidak bersetuju dengan kaedah yang dipertontonkan di tv untuk perawatan yang dikatakan saka dan lain-lain seumpamanya kerana bagi saya ia akan lebih melemahkan keimanan dan ketauhidan kepada Allah.Maka bertambah-tambahlah jin menjadi sombong.Kita adalah khalifah Allah di muka bumi,diciptakan Allah untk beribadah dan takut kepadanya bukan selain dari itu.Amin.


Di ambil dari blog Tn. Haji Ismail b. Ahmad
Pengasas HPA SDN. BHD.

Petua bukan cara untuk beramal.

Petua orang tua-tua Melayu bukan semuanya boleh dijadikan amalan malah ada setengahnya membawa kepada dosa besar.Antara petua yang ada ialah bagaimana untuk menambat hati suami:

1. Si isteri mengambil air wudhuknya dan di masak bersama nasi untuk suami.Suami akan mengikut arahan isteri.

2. Pada tahap kedua pula,air mandian isteri dijadikan minuman dalam kopi suami.

3. Air cuci ka'bah di doakan untuk minuman suami dll lagi.

Alangkah kejinya perbuatan ini walaupun mereka mengatakan air whuduk merupakan air musta'mal,suci(boleh di minum) tetapi tidak dapat menyucikan(utk berwudhuk)namun sanggupkah anda mengambil air basuhan tangan,hidung dan kaki anda untuk minuman suami.Kalau anda sendiri tidak sanggup meminumnya bagaimana anda tergamak memberikan pada orang lain meminumnya.Kedua,berikan satu hadis yang dapat dirujuk bahawa amalan bagini telah diajar oleh Rasullulah SAW pada putri-putrinya untuk tujuan melembutkan hati suami.
Lebih dahsyat lagi, syaitan terus menyesatkan golongan ini dengan memberikan air mandian bagi niat menundukan suami habis-habisan.Inilah petua yang diajar oleh sebahagian para guru-guru kita khususnya pada isteri yang telah dipoligamikan.Air basuhan ka'bah yang mengandungi bahan kimia pencuci dikatakan sebagai air barakah yang menolong bagi mencapai niat-niat tertentu.
Benarkah itu dari ajaran Islam atau merupakan bidaah sesat lagi menyesatkan.Di Sini saya mengajak seluruh umat Islam menolak semua jenis amalan yang tidak mempunyai dasar dari ajaran ugama yang suci.Mudah-mudah-mudahan Aqidah dan Ibadah kita diterima Allah.Amin.

Puasa merupakan kaedah terbaik melakukan detox

Pelbagai cara detox telah kita maklumi darapada penggunaan air sampailah kepada penggunaan herba dan menggunakan mesin colon hidroterapi.Namun dalam Islam terdapat satu kaedah detox yang paling terbaik di sebalik syariat berpuasa sebulan dalam bulan Ramadhan.Detox dalam bulan Ramadhan bukan hanya berlaku pada fizikal sahaja namun ianya juga berlaku pada rohani manusia bagi mengeluarkan keburukan hati yang telah lama terkumpul.
Puasa sepertimana yang dituntut bukan hanya menahan diri dari tidak makan dan minum tetapi puasa zahir dan batin.Puasa zahir batin mempunyai perbezaan yang jauh dengan puasa zahir kerana puasa ini merupakan tarbiah ruhiah yang sangat bernilai.
Jika berjaya melepasi tarbiah ini,Allah akan mengurniakan bintang takwa yang menjadi syarat lulus menuju kepada kerezaan dunia dan akhirat.Sementara puasa fizikal cuma akan menjadikan manusia letih dan lapar semata-mata.

Satu sahaja Doaku malam ini.

Ramadhan..
hari-hari yang kulalui
tidak terasa detiknya berlalu pergi
cahaya bulan dan matahari
sama sahaja dirasai..

kuntum-kuntum malam
kian mekar mewangi
ditiup angin menghembus ke hati
dan cahaya cinta pun menyala
dikamar dinginku
untuk dirasai kehangatannya
sujud,doa,zikir padamu Ilahi.

Tiba-tiba..
kamarku gelap membahang
seribu rasa menerjah di dada
bumiku...
masjidku...
saudaraku..
terkais dalam siksa
berbuka dengan deraian air mata
peluru bagai tabuh di balairaya

Ya Ilahi...
satu sahaja doaku malam ini
merdekalah anak-anak bumi ini
dengan kemenangan yang dekat
limpahan keberkatan israk dan mikraj

teman..
kau asyik bertanya
bumi mana lagi
kalau bukan Al-Aqsa yang tercinta.

MLM HALAL @ HARAM...???

Oleh; Ust. Ahmad Adnan Fadzil
(Dipetik dari blog Soal-Jawab Agama; http://ilmudanulamak.blogspot.com, kendalian Ust. Ahmad Adnan Fadzil)

Soalan:


Sekarang ini banyak jualan langsung yang menjalankan operasi di Malaysia. Apa pendirian Syarak berkenaan MLM; apa ciri-ciri MLM yang harus dan apa ciri-ciri MLM yang haram pula?

Jawapan:

Setakat sekarang ini penulis belum menemui sebarang fatwa yang jelas berkenaan Sistem Jualan Lansung MLM dari mana-mana ulamak muktabar hari ini khususnya dari Timur Tengah atau Al-Azhar sama ada mengharuskannya atau mengharamkannya. Namun secara umumnya panduan urus-niaga secara Islam telah dihuraikan oleh ulamak dengan lengkap dan panjang lebar di dalam kitab-kitab Feqah. Dengan memahami sebaik mungkin panduan tersebut, kita sebenarnya dapat mengukur sama ada suatu urus-niaga yang ditawarkan kepada kita itu (termasuklah MLM) halal atau tidak. Di sini, saya akan kemukakannya secara ringkas.Menjadi prinsip yang diterima oleh semua ulamak bahawa dalam hal-hal keduniaan (antaranya urusan perniagaan dan jual-beli), kedudukan asal setiap perkara dan urusan yang berkait dengannya adalah harus sehingga terdapat bukti yang jelas yang menunjukkan percanggahannya dengan Syarak sama ada dari segi prinsipnya atau terlibat dengan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan. Oleh itu, dalam berhadapan dengan suatu perkara baru atau urusan baru yang bersifat keduniaan, yang harus diteliti ialah ada atau tidak di dalamnya sebarang unsur yang menyalahi prinsip Syarak dan unsur-unsur yang diharamkan? Jika tidak ada, maka ia dikekalkan atas kedudukan asalnya iaitu harus.
Secara umumnya, perniagaan yang sah menurut Syari’at Islam ialah yang memenuhi prinsip-prinsip asas berikut;
1. Ia berasaskan akad saling meredhai antara penjual dan pembeli
2. Ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Syarak ke atas suatu urusan perniagaan atau jual-beli.
3. Ia bebas sepenuhnya dari larangan-larangan Syarak iaitu perkara-perkara yang diharamkannya.

Saling meredhaiSaling meredhai bermaksud pembeli meredhai atau berpuas hati dengan barang atau produk yang diterimanya dan tidak rasa tertipu dan penjual juga meredhai dengan harga jualannya, yakni ia tidak menjual dengan terpaksa. Prinsip saling redha-meredhai ini amat penting dalam urusan perniagaan kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” (Surah an-Nisa’, ayat 29).Bagi memastikan prinsip saling meredhai itu terlaksana, maka Syarak telah menetapkan syarat-syarat tertentu bagi setiap urusan perniagaan. Syarat-syarat ini jika dilanggari akan menyebabkan suatu urusan perniagaan tidak sah atau batal.
Di antara syarat-syarat tersebut ialah;
1. Orang yang menjalankan akad perniagaan hendaklah mumayyiz, iaitu mampu membuat pertimbangan sendiri.
2. Mereka melakukan akad dengan kerelaan sendiri, iaitu tidak dipaksa melakukan akad.
3. Status barang yang diperniagakan dan harganya hendaklah diketahui dengan pasti (yakni tiada kesamaran) oleh penjual dan juga pembeli. Ini untuk mengelak dari berlakunya gharar.
4. Barangan jualan diizinkan oleh Syarak (yakni tidak tersenarai dalam barang-barang yang haram).
5. Jika urus-niaga membabitkan mata-wang hendaklah mematuhi syarat-syarat pertukaran matawang mengikut Syarak.
6. Hendaklah diselaraskan kandungan ijab dan qabul dari segi sebutan barang, harga dan sebagainya. Tidak sah aqad jual-beli yang ijab dan qabulnya tidak selaras seperti penjual berkata; “Saya jual barang ini dengan harga RM 40” dan pembeli pula berkata; “Saya beli dengan harga RM 30”.
Setiap urusan perniagaan yang hendak diiktiraf oleh Islam juga hendaklah bebas dari sebarang unsur yang dilarang atau diharamkan oleh Syarak.
Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi, larangan-larangan Syarak dalam urusan perniagaan berkisar atas beberapa sebab iaitu;
a) Membantu kepada perbuatan maksiat
b) Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan
c) Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan
d) Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang beraqad.
(Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242)

Lebih terperinci, antara unsur yang dilarang oleh Syarak dalam urusan perniagaan ialah;
(1) Menjalankan perniagaan yang diharamkan atau mendatangkan mudarat. Jika ada syarikat MLM yang menjual barangan/produk yang diharamkan oleh Syarak atau mendatangkan mudarat kepada manusia, maka tidak harus syarikat tersebut disertai oleh orang Islam sama ada sebagai pembeli, pengedar, penaja atau sebagainya.
(2) Al-Gharar; iaitu menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa dipastikan dengan tepat barangan/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Para fuqaha’ sepakat menyatakan bahawa jual-beli secara gharar adalah batal atau tidak sah kerana sabit di dalam hadis; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (Riwayat Imam Ahmad dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).
(3) Melakukan penipuan dalam urusan urus niaga. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Sesiapa yang menipu maka ia bukan daripada golonganku” (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.). Antara contoh penipuan ialah;
( a) Membuat iklan barangan dengan memaparkan keistimewaan-keistimewaan atau ciri- ciri yang sebenarnya tidak ada pada barangan tersebut melainkan untuk menarik
perhatian orang supaya membelinya semata-mata. Penipuan sebegini dinamakan
at-Taghrir iaitu memperdaya.
(b) Menipu pembeli dengan menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi
dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di
pasaran. Contohnya; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa
diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.
(c) Menyembunyikan kecacatan barangan atau produk. Contohnya; menyembunyikan
kerosakan enjin kereta yang akan dijual dan sebagainya.
(d) Mengurangi timbangan
(4) Antara yang dilarang juga di dalam perniagaan ialah melakukan penganiayaan, memeras pengguna dan merosakkan kepentingan masyarakat; antaranya dengan melakukan ihtikar (monopoli barangan; yakni menyorok barangan untuk menaikkan harganya) dan menjadi orang tengah yang memeras pengguna. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Tidak melakukan ihtikar melainkan orang yang berdosa” (Riwayat Imam Ahmad, Muslim, Abu Daud, an-Nasaie dan Ibnu Majah dari Mu’ammar Ibn Abdillah r.a.)
Larangan-larangan di atas jika berlaku dalam urusan perniagaan akan menyebabkan perniagaan tidak sah atau sekurang-kurangnya mendatangkan dosa kepada pelakunya walaupun perniagaan masih dianggap sah.Prinsip-prinsip di atas bersangkutan dengan perniagaan secara umum termasuklah perniagaan secara MLM. Di sana ada perkara-perkara khusus yang berkait dengan MLM yang perlukan perhuraian atau garis panduan iaitu mengenai yuran keahlian, bonus dan harga barangan/produk.Syarat-syarat yuran keahlian Boleh dikatakan kesemua syarikat MLM menetapkan suatu kadar yuran keahlian terhadap orang yang ingin menjadi ahli atau pengedar bagi produk-produk keluarannya. Mengenakan yuran keahlian tersebut diharuskan jika memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Yuran tersebut tidak bertujuan untuk mengaut keuntungan dan mengambil kesempatan dari peserta.
2. Yuran tersebut bertujuan untuk menyediakan maklumat dan keterangan kepada peserta berkaitan urusan dan agenda yang akan dijalankan oleh syarikat.
3. Yuran itu tidak mengikat peserta dengan mewajibkan syarat-syarat yang zalim dan tidak bermoral, dalam erti kata lain peserta boleh menarik diri dan dalam sesetengah hal duit akan dikembalikan.
4. Yuran tersebut tidak mempengaruhi perlakuan akad yang selanjutnya semasa berurus-niaga atau berjual-beli.

Syarat-syarat di atas kita putuskan berasaskan kepada fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Majma’ al-Fiqh terhadap soalan mengenai yuran yang dikenakan sebagai satu syarat penting sebelum berhak menyertai jualan lelongan yang diamalkan oleh syarikat-suarikat peniagaan. Mengikut fatwa tersebut, pengenaan yuran tersebut adalah harus apabila ia memenuhi syarat-syarat di atas. (Lihat; Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 1994, 2/37).
Bonus Dicadangkan pemberian bonus dilakukan dengan menepati konsep al-Ji’alah di dalam Fiqh Islam. Al-Ji’alah bermaksud menjanjikan suatu pemberian (komisyen) kepada orang yang melakukan suatu kerja atau tugas tertentu yang sukar seperti seorang lelaki berkata; “Sesiapa dapat mengembalikan untaku yang hilang, baginya pemberian sebanyak RM 200” (Al-Majmu’, jil. 15, Bab al-Ji’alah). Al-Ji’alah adalah akad yang diharuskan dengan dalil al-Quran dan hadis, antaranya firman Allah;“Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”. (Yusuf: 72)
Menurut ulamak, keharusan al-Ji'alah terikat dengan beberapa syarat, antaranya;
1. Pihak yang berakad hendaklah terdiri dari mereka yang memiliki keahlian untuk melakukan akad.
2. Hendaklah bayaran terdiri dari nilai harta yang diketahui.
3. Hendaklah manfaat yang diperolehi menerusi kegiatan ini diketahui pada hakikatnya serta harus memanfaatkannya dari sudut Syarak.(Wahbah az-Zuhaili, 4/787)
Jadi, supaya bonus dapat menepati konsep al-Ji'alah tersebut, maka pemberian bonus oleh Syarikat MLM hendaklah berasaskan kepada manfaat/kerja yang disumbangkan oleh para pengedar atau orang terbabit dalam membantu syarikat. Nilai bonus yang dijanjikan hendaklah dinyatakan dengan pasti oleh Syarikat kepada para pengedarnya supaya ia menepati syarat yang kedua di atas.
Berdasarkan pengalaman saya dalam Syarikat HPA Industri Sdn. Bhd. (salah satu Syarikat Bumiputra Muslim yang giat menjalan perniagaan secara MLM di Malaysia), bonus yang diberikan oleh Syarikat HPA kepada pengedar-pengedarnya adalah sebagai ganjaran/upah yang dijanjikan kerana sumbangan mereka dalam melakukan perkara-perkara tersebut;
1. Memperkenalkan syarikat kepada orang ramai
2. Menaja ahli-ahli baru untuk syarikat
3. Membuat jualan produk-produk syarikat kepada orang ramai.
4. Membimbing dan memimpin anak buah (downline) untuk membina organisasi perniagaan yang kukuh. Ini terpaksa melalui proses seperti pertemuan dari masa ke semasa untuk perbincangan, perancangan, penerangan berkenaan produk dan perkembangan terbaru syarikat.
Melihat kepada kerja/manfaat yang disumbangkan oleh para pengedar seperti di atas, saya merasakan pemberian bonus oleh Syarikat HPA menepati prinsip al-Ji'alah yang diharuskan oleh Syarak tadi.Meletakkan syarat untuk memperolehi Bonus Menetapkan syarat tambahan -selain dari yang ditetapkan Syarak- dalam mana-mana akad perniagaan dan harta adalah harus jika syarat itu tidak melanggar hukum Syarak yang sedia termaktub dan tidak terdapat sebarang penganiayaan dan pilih kasih. Keharusan ini adalah berdasarkan hadis Nabi s.a.w.; "Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama menepati yang hak (yakni hukum Allah)” (Riwayat al-Hakim dari Anas dan Aisyah r.a.).Oleh demikian, tindakan pihak syarikat menetapkan syarat tertentu ke atas para pengedarnya untuk melayakkan mereka memperolehi bonus -jika bonus tersebut dilakukan mengikut kaedah al-Ji'alah di atas- tindakan tersebut adalah harus asalkan syarat yang ditetapkan tidak bercanggah dengan mana-mana ketetapan Syarak dan tidak bersifat pilih-kasih atau menganiayai mana-mana orang.

Jauhi “Sistem Piramid” Sistem Piramid yang kita maksudkan ialah satu sistem di mana kumpulan orang di bawah membayar kepada orang-orang yang berada di peringkat atas. Setiap peserta baru membayar supaya berpeluang mara ke tahap paling atas dan mendapat keuntungan daripada bayaran orang lain yang menyertai skim itu kemudian. Penaja atau pemilik skim ini tidak mengambil berat tentang penjualan barang/produk, tetapi mengambil berat tentang keuntungan yang dikaut melalui wang yang diperolehi dari ahli-ahli baru.
Di antara ciri-ciri Skim Piramid ini ialah;
1. Produk berkualiti rendah dengan harga mahal dan para pengedar baru perlu membelanjakan wang ke atas inventori barangan yang berlebihan.
2. Yuran keahlian yang tinggi serta komisyen kepada setiap peserta yang dapat menarik ahli baru.
3. Tiada hak pemulangan wang dan tiada kontrak bertulis di antara syarikat dan pengedar.
4. Tidak mengambil berat tentang jualan runcit dan penghasilan wang dengan mengembangkan jumlah keahlian di bawah para pengedar.
5. Kehadiran wajib pada sesi latihan yang mahal.
6. Dakwaan perolehan wang dan kejayaan besar yang sengaja direka-reka serta digembar-gemburkan.
(Amar Said, Persatuan Pengguna Pulau Pinang)
Apa yang jelas di dalam Sistem Piramid ini, yang menjadi fokus bukanlah penjualan barangan/produk, tetapi penajaan ahli baru di mana keuntungan dikaut dari yuran keahlian yang tinggi bukan melalui kegiatan perniagaan. Bonus diberikan hasil dari kutipan dari orang-orang dibawah, bukan dari keuntungan barangan/produk yang dijual. Melihat kepada konsep dan ciri-ciri di atas, jelas bahawa Sistem Piramid tersebut bertentangan dengan Syari’at Islam kerana terkandung di dalamnya unsur-unsur penipuan, pemerasan, gharar (ketidakjelasan salam dalam akad), ghabn fahiysh dan sebagainya yang diharamkan oleh Syarak dalam urusan perniagaan atau jual-beli.Harga barangan/produk Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak dari al-Azhar, Mesir) menjelaskan dalam buku himpunan fatwanya; “Tidak ada di dalam Islam batasan tertentu bagi keuntungan (yang harus diambil dalam perniagaan atau jual-beli) mengikut pandangan yang paling soheh dari para ulamak Islam. Peniaga hendaklah menetapkan harga mengikut kadar yang diredhai olehnya dan juga diredhai oleh pembeli. Ini kerana akad jual-beli terbina di atas saling redha-meredhai antara penjual dan pembeli sebagaimana firman Allah;Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara saling redha-meredhai di antara sesama kamu”. (an-Nisa’: 29) (Lihat; Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, hlm. 108).
Dari fatwa di atas kita dapat simpulkan dua perkara berkenaan penetapan harga barang/produk;
a) Tidak ada batasan tertentu dari Syarak bagi keuntungan yang harus diambil dari produk yang dijual. Jadi, penentuan harga produk/barangan terserah sepenuhnya kepada penjual/pengeluar.
b) Namun begitu, para penjual/pengeluar hendaklah mengambil kira keredhaan pengguna terhadap harga yang ditetapkan. Tidak harus ia melakukan penipuan harga atau ghabn fahisyh (yakni beza harga yang keterlaluan dari harga sebenar di pasaran) yang menyebabkan pembeli hilang perasaan redhanya terhadap jual-beli apabila mereka mengetahui nilai sebenar di pasaran. Contohnya; menjual barang yang murah dengan harga yang terlalu tinggi dengan mengeksploit kejahilan pembeli terhadap nilai sebenar barang/produk di pasaran, seperti; menjual barang yang bernilai RM20 dengan harga RM100 tanpa diketahui oleh pembeli nilai sebenarnya.

Demikianlah beberapa panduan penting untuk mengukur sama ada sesuatu MLM itu harus atau tidak di sisi Syarak. Panduan tersebut bukan sahaja berguna untuk orang ramai, tetapi juga untuk pemilik syarikat yang menjalankan MLM untuk melihat sama ada sistem yang mereka guna menepati Syariat atau tidak.Wallahu A’lam.

Rujukan; 1. Al-Haram wa al-Haram Fi al-Islam, Dr. Yusof al-Qardhawi. Hlm. 242.
2. Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqaha’, Dr. Nazih Hamad, ter.
Al-Ma’had al-‘Alami Lil Fikri al-Islami, Herndon, Virginia, U.S.A. (1993).
3. Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, ter. Al-Fath Lil ‘ilam al-‘Arabi, Kaherah, Mesir
(1411/1412H)
4. Al-Fiqhul Manhaji ‘ala Mazhabil Imam as-Syafi’ie, Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa
al-Bugha dan ‘Ali Syarbaji, ter. Dar al-Qalam, Damsyiq, Syiria (1991)
5. Fiqh Islami Wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili, ter. Dar al-Fikr, Damsyiq, Syria
(1885)
6. Baina as-Sa-il Wa al-Faqih, Syeikh Dr. Bakar Ismail, ter. Dar al-Manar, Mesir(1992).
7. Sistem Syarikat Jualan Lansung Di Malaysia Dari Perspektif Mualamat Islam,
Muhammad Hasan Zaid bin Ramli, UKM Bangi (2002).
8. Al-Majmu, ter. Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan (2000)



SYARAT-SYARAT MLM HALAL MENURUT UST HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN
(Dipetik dari arikel beliau; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)
1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Shariah, ia tiadalah halal di sisi Shariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).
2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.
3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.
4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala' atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).
5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.
6. Setiap ‘upline' atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Shariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah'. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.
7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.
8. Mempersembahkan system komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.
9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.


Keputusan Majma Fiqh Sedunia ?
Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma' Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage' sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : "Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:
Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.
Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.
Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.
(Dipetik dari arikel Us. Zaharuddin; “Isu Shariah Dalam Perniagaan MLM” dalam laman web; www.zaharuddin.net)



FATWA TENTANG MELETAKKAN SYARAT BAGI MENDAPAT KOMISYEN

Soalan;

Terdapat satu system jualan produk yang diperkenalkan oleh beberapa syarikat yang diringkas seperti berkut;
Syarikat menawarkan kepada orang yang berminat menjadi wakil/pengedarnya untuk terlibat mempromosi barangan/produk keluarannya dengan satu kadar komisyen tertentu (cthnya 10%) bagi setiap produk yang dijual, namun syarikat meletakkan syarat komisyen tersebut tidak akan diberikan melainkan wakil/pengedar melakukan jualan dengan jumlah tententu yang ditetapkan Syarikat. Adakah ianya harus?

Jawapan;

Polisi jualan tersebut adalah harus. Ia tidak lain merupakan langkah Syarikat melakukan akad al-Ji’alah (pemberian bersyarat) dengan pengedarnya sebagai imbalan mempromosikan jumlah tertentu dari barangan/produk Syarikat. Jika ia berjaya melakukan jualan dengan jumlah tersebut, berhaklah ia untuk mendapat komisyen yang dijanjikan itu. Jika tidak, tidak berhaklah ia mendapatnya. Masalah ini termasuk dalam bab al-Ji’alah (pemberian dengan bersyarat). Sekalipun ada kemungkinan akan berlaku kepada wakil/pengedar mereka berpenat saja tanpa imbalan apabila tidak berjaya mencapai jumlah jualan yang ditetapkan itu, perkara tersebut tidak akan menjejaskan keharusan mu’amalah tersebut. Ini kerana telah sedia dimaklumi (dalam Fiqh) bahawa akad al-Ji’alah harus berlaku padanya al-Jihalah dan al-Gharah (yakni ketidakpastian) walaupun unsur tersebut tidak harus berlaku dalam al-Ijarah (akad sewaan).

(Fatwa dipetik dari buku Fiqh al-Mu’amalat al-Maliyah al-Muqaran, tulisan Syeikh Dr. ‘Alauddin Za’tari,, hlm. 338, ter. Dar al-‘Ashma’, Damsyiq, Syria, 2008. Penulis adalah pensyarah Fiqh dan Ekonomi Islam di University Ummu Darman, Syria dan Kolej University Islam di Lubnan. Beliau memiliki laman webnya sendiri; www.alzatari.org).